Inspira_delivery

PROTON cuba rampas kedudukan pertama dari PERODUA

Mahu menjadi peneraju utama pasaran kenderaan negara mengatasi PERODUA mulai tahun ini
Akhbar Berita Harian bertarikh 8 April 2011 (Jumaat) telah melaporkan bahawa Proton Holdings Bhd (PROTON) berharap dapat mengambil alih semula kedudukannya sebagai peneraju pasaran kenderaan di negara kita daripada Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) tahun ini. Sudah lima tahun sejak pengenalan Perodua Myvi pada 2005, kedudukan PROTON tidak pernah berubah di belakang PERODUA, jadi adakah tahun 2011 ini hasrat PROTON itu akan berjaya direalisasikan? Kelihatannya agak mustahil kerana jualan barisan kenderaan PERODUA sentiasa mendapat sambutan hangat daripada rakyat Malaysia.
Namun menurut laporan daripada Persatuan Automotif Malaysia (AAM), angka jualan untuk bulan Mac 2011 yang masih belum disahkan dipercayai memihak kepada PROTON, dengan jumlah jualannya dikatakan sangat baik dan adalah rekod baru bagi pengeluar kereta nasional itu. Mengikut rekod, untuk dua bulan pertama Januari dan Februari tahun ini, PROTON dan PERODUA masing-masing mencatatkan jualan sebanyak 27,365 dan 27,713 unit, perbezaan yang kian mengecil antara kedua-dua syarikat automotif tempatan itu. Mungkinkah jika statistik sebenar dikeluarkan oleh AAM untuk suku pertama tahun ini akan memihak kepada PROTON iaitu berjaya mengatasi jualan kenderaan keluaran PERODUA?
Hasil beberapa carian di dalam beberapa sumber di internet menyebut bahawa jumlah jualan kenderaan keluaran PERODUA untuk suku pertama tahun ini masih melebihi jumlah jualan yang dicatatkan oleh PROTON, di mana PERODUA berjaya menjual sebanyak 45,700 unit berbanding PROTON sebanyak 44,870 unit, perbezaan sebanyak 830 unit sahaja. Walaupun masih gagal memintas PERODUA, statistik tersebut sangat bagus untuk kita menilai prestasi PROTON secara keseluruhan sejak akhir-akhir ini. Mungkin pengenalan Proton Saga FL dan Proton Inspira berjaya melonjakkan kembali momentum jualan PROTON, termasuk kualiti dan servis selepas jualan yang semakin dipercayai pelanggan.
Seperti yang pernah saya tulis, Proton Saga FL adalah suatu produk terbaik dari PROTON ketika ini dan dipercayai menjadi pencetus kepada peningkatan jualan kenderaan PROTON, seperti yang telah dilakukan oleh model Saga BLM. Bagi meneruskan keupayaan mereka untuk bersaing dan merampas kedudukan di nombor satu, PROTON akan terus berusaha mengukuhkan produktiviti, kualiti, rangkaian pengedar serta keyakinan pengguna terhadap jenama PROTON. Pengarah Urusan PROTON, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pihaknya akan mengeluarkan pelbagai varian baru untuk model berkapasiti tinggi seperti Exora menggunakan enjin turbo serta edisi baru untuk model seperti Saga dan Inspira.
Dengan yakin Syed Zainal berkata, pihaknya menyasarkan peningkatan jualan antara tujuh dan lapan peratus tahun ini daripada 157,274 unit tahun lalu. Katanya selepas membawa pasukan Formula Satu, Lotus Renault GP (LRDGP) diketuai Prinsipal yang juga Pengarah Urusannya. Eric Boullier, melawat kemudahan penyelidikan dan pembangunan PROTON di Shah Alam, baru-baru ini (7 April 2011).
PERODUA kekal no. 1
Sementara itu, Utusan Malaysia bertarikh 9 April 2011 (Sabtu) melaporkan kedudukan PERODUA bagi suku pertama 2011 kekal sebagai peneraju pasaran dengan mencatatkan jualan sebanyak 45,700 unit kenderaan di sebalik iklim pasaran yang semakin mencabar. Bagaimanapun angka itu merosot berbanding tempoh yang sama tahun lalu apabila mencatatkan jualan sebanyak 47,800 unit manakala penguasaan pasaran jatuh kepada 29.1 peratus berbanding 32.4 peratus dalam tempoh yang sama.
Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh dalam satu kenyataan menyebut Perodua Myvi terus menjadi model terlaris dengan lebih kurang 21,500 unit terjual bagi tiga bulan pertama 2011, Perodua Viva pula terjual sebanyak 17,200 unit manakala Alza turut menjadi pilihan pembeli bagi segmen kenderaan pelbagai guna dengan jualan sebanyak 10,400 unit sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.
Merujuk kepada laporan yang menyebut tentang kesan bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun terhadap PERODUA, pelancaran model terbaru Perodua Myvi generasi kedua berkemungkinan besar terpaksa ditunda daripada jadual asal pada April-Mei 2011 ke tarikh baru pada September atau Oktober. Perkara itu disebabkan berlakunya gangguan rantaian bekalan untuk PERODUA yang dibekalkan oleh rakan kongsi mereka di Jepun, Daihatsu Motor Co Ltd, akibat bencana alam yang berlaku.
Menurut Pengarah Urusan PERODUA, gangguan tersebut hanya bersifat sementara dan berdasarkan maklumat terkini, bekalan di kilang PERODUA dan vendor adalah mencukupi untuk pengeluaran sehingga Mei ini dengan sedikit pengubahsuaian. PERODUA yang kira-kira 20 peratus ekuitinya dimiliki Daihatsu Motor Co Ltd, ketika ini sedang mengkaji situasi untuk lebih memahami kesan daripada bencana itu, pada masa yang sama berhubung secara terus dengan rakan kongsinya di Jepun.
About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s